Pages

Monday, December 27, 2010

Sedalam mana syukur kita????

Bismillah...
Alhamdulillah...bersyukur pada ALLAH, kerana masih lagi diberikan nikmat hidup, nikmat nafas dan segala bentuk nikmat yang jika disenaraikan nescaya tak akan habis. Terasa semakin hari semakin sempit nikmat lapang yang diberi. Cuti semakin menghampiri penghujungnya, maka akan bermulalah sem baru yang lagi mencabar. Semakin lama,dirasakan semakin payah dan susah. Tidak kira dari segi pelajaran mahupun dakwah kerana sistem baru yang akan dijalankan bermula sem baru ini dijangkakan lebih 'pack'.

Moga diri ini diberi kekuatan untuk menempuh segala ujian dan cabaran yang akan mendatang. Moga diri ini tidak letih dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba ALLAH, menjalankan tanggungjawab sebagai  seorang anak, seorang kakak, sebagai seorang pelajar dan yang paling utama sekali sebagai seorang dai'e, meskipun rintangan dan halangan yang dilalui sungguh memeritkan diri. Anggaplah segala kepayahan mehupun kesenangan yang dilalui ini sebagai ujian untuk mematangkan diri dan ianya bukan sia-sia. Firman ALLAH:
"Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui ornag-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami uji perihal kamu".(Muhammad:31)

Syukur????
Pernahkah kita terfikir, sejauh mana dan sedalam mana syukur kita terhadap nikmat yang diberikan??Kita seringkali berdoa kepada ALLAH agar dikurniakan rezeki tetapi kita jarang sekali berdoa agar rezeki dan nikmat itu menjadi 'catalyst' untuk kita menambahkan lagi iman di dada. Lebih buruk lagi bila nikmat yang diberi itu kita gunakan untuk perkara-perkara yang melalaikan kita dari sentiasa mengingatiNYA. Jika dilihat dalam kehidupan sehari-harian kita, sejauh manakah keserasian aktiviti-aktiviti kita dengan islam yang sebenar. Cara makan, cara berpakaian, tingkah laku kita, cara belajar, berkomunikasi, cara bergaul dan sebagainya. Adakah semua itu berlandaskan islam yang sebenar. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Jangan tanya selera kerana selera lebih menuntut kepuasan dan nafsu diri. Di sini, saya mengingati diri sendiri terutamanya agar sama-samalah kita kembali kepada islam yang sebenar. Sesungguhnya hidup ini bukanlah untuk sekadar suka-suka dan sia-sia. Setiap detik dan ketika kita semasa di dunia ini akan disoal di akhirat kelak. Firman ALLAH:
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaKU".(Azzariat:56)
Maka, marilah kita sama-sama perbaiki setiap amalan dan perbuatan kita agar ianya tidak sia-sia. Kembali menjadi hamba ALLAH yang bersyukur. Tetapi apakah itu syukur???? cukupkah dengan hanya sekadar solat lima waktu sehari-hari dan meremehkan perkara-perkara lain dalam kehidupan ini dikatakan syukur??Bila diberi sedikit nikmat kita hanya berdoa dan memperbanyakkan amalan solat sedangkan perkara dalam seharian kita remeh-remahkan. Contohnya, seringkali kita lihat atau baca ucapan yang diberikan oleh segelintir orang, "Saya merasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan ALLAH, kerana dengan izinNYA saya dapat memenangi anugerah ini, saya peroleh kejayaan ini", dan sebagainya sedangkan cuba kita lihat semula cara berpakaiannya, cara pergaulannya, sangat menjolok mata dan tiada sensitiviti langsung. Adakah itu dikatakan bersyukur????Di mana letaknya malunya itu kerana melafazkan perkataan bersyukur tapi dalam masa yang sama melakukan dosa.
Sangat ceteknya ilmu manusia zaman sekarang yang dikatakan berteknologi tinggi kerana tergamak melakukan dosa secara terang-terangan tanpa segan silu dan bangga sekali dan dalam masa yang sama mengungkapkan perkataan 'syukur'???apakah itu???
Begitulah dalam kehidupan kita sehari- harian. Cuba refleks kembali kegiatan kita dalam sehari-hari. Tidak perlu menunding jari kepada orang lain,cukuplah kita refleksi diri sendiri,sangat banyak perkara yang kita remeh-remehkan. Kita lebih mengutamakan hiburan malah hiburan itulah yang menjadi agenda utama kita.Sangat jauh kita dari landasan islam yang sebenar.
Seperti yang dikatakan di awal tadi, nikmat juga merupakan ujian ALLAH buat kita. Makanya, gunakanlah nikmat yang diberikan itu sebaiknya agar kita tidak kufur nikmat. Jadikanlah nikmat yang diberikan itu sebagai momentum untuk kita terus melakukan ibadah dan kebaikan dalam sehari-hari agar kehidupan kita diberkati dan diredhai ALLAH. Jadilah hamba ALLAH yang bersyukur. Sama-samalah kita menjaga dan merasai betapa manisnya iman itu. Firman ALLAH:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.” (Al Anfal: 2-4)
Masih belum lambat untuk kita berubah. Mulakan perubahan itu dari dalam diri. Kemudian kita pancarkan perubahan disekeliling kita. "Analisis hati,perbaiki diri".

1 comments:

Izzat Zainal said...

salam..nice entry..syukran atas muhasabah..

Post a Comment