Segala tulisan dan cerita dalam artikel ini adalah
untuk peringatan buat semua terutamanya buat diri penulis sendiri. Salah dan
silap harap dimaafkan. Moga bermanfaat. Salam muhasabah.
Cintaku hanya untukMU Ya ALLAH
BUKA MATA BUKA HATI, MOGA RAMADHAN DIBERKATI
Satu mesej masuk dalam inbox dan dibaca, “Salam.kak
long, mak masuk hospital. Jangkitan kuman kat mata”. Fathiah segera menelefon
ahli keluarganya dan menanyakan keadaan maknya yang masuk wad. Sememangnya
ketika itu cuti semester bagi pelajar IPT. Namun, Fathiah terpaksa mengorbankan
cutinya untuk masuk makmal bagi menyiapkan projek tahun akhirnya. Akhirnya
Fathiah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan menjaga maknya di
hospital. Dia terpaksa mengorbankan projek tahun akhirnya. “Tak apalah aku
tangguh rancangan aku masuk makmal cuti ni untuk mak. Pasti Allah bantu aku,”
Fathiah memujuk hatinya.
Di hospital…
Sesampainya di hospital, Fathiah pun bersalaman dengan
ibunya. “Ni akak ke?”, tanya mak pada Fathiah. “Ye la mak, ni akak, tak kenal
akak lagi ke? Sampai hati mak,” jawab Fathiah yang cuba bergurau dengan ibunya.
“Bukan mak tak kenal, tapi mata mak ni yang tak nampak. Yang nampaknya kabur-kabur
dan warna serba putih yang bersalam dengan mak. Mak ingat misi tadi. Muka akak,
mak tak nampak pun,” jawab ibu Fathiah. Melihat keadaan ibunya, secara
tiba-tiba air mata Fathiah mengalir di pipinya. Dia perlu kuat untuk jaga
ibunya sepanjang di hospital.
Fathiah menjaga ibunya yang ditahan di wad mata hampir
seminggu. Sepanjang berada di wad mata cukup menginsafkan Fathiah. Pelbagai
keadaan orang sakit dapat diperhatikannya. Ada antara pesakit yang ditarik
nikmat melihat sebelah mata selama-lamanya dan hanya bergantung pada sebelah
mata sahaja dan bayangkan sebelah matanya itu pun sakit kerana dijangkiti
glaucoma. Namun, walaupun begitu makcik tu tetap rajin membaca ayat-ayat suci
Al- Quran. Ada pula makcik yang lain terpaksa dibedah matanya dan selang dua
hari terpaksa menjalani rawatan hemodialisis kerana menghidapi sakit buah
pinggang. Bukan sahaja golongan tua yang memenuhi wad mata itu, malah golongan
muda juga ramai kerana sakit mata akibat memakai kanta mata yang tidak
berkualiti dan berwarna-warni kerana ingin kelihatan cantik. Fathiah bersyukur
atas segala nikmat sihat yang Allah kurniakan ke atasnya.
Buta
Mata ibu Fathiah belah kiri berselaput dan belum
dibedah lagi. Mata sebelah kanan pula pernah dibedah suatu masa dulu dan
diganti dengan kanta buatan kerana berselaput tetapi mata itu kini telah
dijangkiti kuman dan kedua-dua belah matanya memang tidak dapat melihat. Nikmat
penglihatannya sudah ditarik Allah buat seketika.
Buta Fizikal VS Buta Mata Hati
Melihat keadaan pesakit di wad mata amat menyedihkan
kerana mereka kebanyakannya telah ditarik nikmat melihat. Mereka tidak dapat
melihat keindahan alam ciptaan Allah. Mereka juga terpaksa dibantu dan dipimpin
untuk pergi ke mana-mana. Namun, kesungguhan antara mereka yang tetap melakukan
solat dan mengaji Al- Quran amat mengagumkan dan wajar dicontohi. Mereka tidak
jadikan alasan sakit untuk mereka meninggalkan suruhan Allah.
Sebenarnya, ada yang lebih menyedihkan lagi dan
membimbangkan kita melihat realiti masyarakat hari ini. Sedih apabila seseorang
itu sempurna dari segi fizikal dan juga dikurniakan ilmu tetapi, dengan ilmu
yang ada, dia tidak dapat melihat sesuatu yang benar sebagai kebenaran dan
tidak dapat melihat sesuatu yang batil sebagai kebatilan. Malah, ada yang
sewenang-wenangnya mencampurkan kebatilan dan juga kebenaran mengikut sesuka
hati dan nafsu. Sedangkan memang kita sedia tahu yang batil dan yang benar itu
tidak boleh dicampur-adukkan sebagaimana yang disebut dalam firman Allah:
“Dan
janganlah kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan dan(janganlah) kamu
sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya”
(Al-Baqarah: 42)
Realiti masyarakat hari ini takut dan malu hendak
menegakkan kebenaran dan melakukan kebaikan kerana melakukannya dianggap pelik
dan ganjil.
Tahu meninggalkan solat itu berdosa, tetapi tetap
tinggalkan solat kerana kononnya kerana ingin mencari sesuap nasi untuk
keluarga. Kalau berhenti seketika untuk menunaikan solat takut kena potong gaji
dan diberhentikan kerja.
Tahu menutup aurat itu wajib tapi tetap mendedahkan aurat kerana takut dikatakan
tidak “up to date” dengan fesyen terkini.
Sangat berat sekali bila diajak ke majlis ilmu. Namun,
bila diajak keluar tengok wayang, main game, dan tengok perlawanan bola sepak,
tiada pernah ada alasan walaupun terpaksa bersesak-sesak. Walaupun sedang sibuk
buat assignment, sanggup ditinggalkan!
Menganggap cari jodoh itu perlu kenal-kenal dahulu,
perlu bercinta-cinta untuk kenal isi hati dan budi. Walhal, jelas sekali
“couple” itu haram hukumnya. Semua itu jelas adalah tuntutan nafsu semata-mata
dan demi kepuasan diri. Alasan couple adalah sebagai latihan sebelum menjadi
suami isteri yang baik adalah tidak masuk akal kerana couple hanya akan
menjadikan anda semua pelakon kasih kekasih yang baik sahaja, tetapi untuk
menjadi suami isteri yang baik, anda perlu menghadapi alam pernikahan yang
sebenarnya terlebih dahulu dan sememangnya ia memerlukan kekuatan iman.
Apabila diajak untuk berubah ke arah kebaikan,
memberikan alasan bahawa hidayah Allah tak sampai lagi. Sedangkan jelas, terang
lagi bersuluh sekarang ni medium hidayah itu datang dari pelbagai arah.
Terpulang pada empunya diri sama ada nak atau tidak dan berusaha untuk mencari
atau membiarkan sahaja.
Kebanyakan masyarakat Islam sendiri pada hari ini
melihat Islam itu hanya sekadar pada solat, mengaji Al-Quran, nikah, urusan
jenazah dan tidak melihat dan mengamalkan Islam secara keseluruhan dalam hidup.
Islam penuh larangan dan konservatif. Tidak moden dan ketinggalan zaman!
Akibatnya, lihatlah keadaan umat Islam pada hari ini, kita hanya ramai dan
juara dari segi bilangan, tapi kualiti kita lah yang tercorot dan ketinggalan
berbanding agama lain. Yang menyedihkan
kitalah juara membuang bayi dan melahirkan bayi luar nikah, kitalah juara
menagih dadah, kitalah juara dalam berhibur secara melampau, kitalah juara
melepak, kitalah juara dalam membuang masa dan melakukan perkara-perkara yang
tidak berfaedah, kitalah juara dalam rasuah.
Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"
Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"
Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."
Inilah yang berlaku apabila manusia melihat kehidupan
melalui kaca mata nafsu. Kita celik dari segi fizikalnya tetapi pada
hakikatnya, kita rabun dan yang lebih parah lagi ada antara kita yang telah pun
buta, buta dari segi mata hati. Kita merasakan kita hanya perlu ambil yang kita
suka dan apa yang kita benci tidak perlu dilakukan. Anggapan ini sememangnya
salah dan kita lupa akan ayat ini,
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
(Al-Baqarah:216)
(Al-Baqarah:216)
Sebab itulah kita perlu melihat kehidupan dunia ini
dengan kaca mata akhirat. Kita perlu melihat apa yang sebenarnya kita sedang
hadapi dan harus sedar keinginan kita sekarang telah dicemari oleh musuh-musuh
Islam, Yahudi serta Nasrani sehingga kita terasa indah melakukan mengikut hawa
nafsu dan berat sekali untuk menunaikan segala kewajipan kita sebagai hamba
Allah di bumi ini.
Kanta lekap dan kaca mata ciptaan musuh Islam
Sebenarnya kita tidak buta tetapi kita telah
dipakaikan oleh kanta lekap dan kaca mata yang telah diubahsuai oleh
musuh-musuh Allah. Dalam keadaan yang tidak sedar dan leka kita telah tersilap
menilai. Kaca mata yang telah dicorakkan oleh musuh-musuh Allah itu telah
berjaya menjadikan kita khayal dan lupa akan tujuan sebenar kita hidup di dunia
ini. Kaca mata yang pada luarannya memang nampak indah tetapi sebenarnya ialah
barah yang menyebabkan masyarakat kita sakit.
Keadaan ini boleh di analogikan seperti cerita Fathiah
di atas. Di mana kebanyakan golongan muda yang rosak matanya di wad mata akibat
memakai kanta lekap yang berwarna-warni dan cantik. Memang kanta mata yang
dipakai itu cantik kerana berwarna-warni dan murah, namun secara
perlahan-lahan, kanta lekap itu yang tidak berkualiti telah merosakkan mata si
pemakainya. Lantas menjadikan si pemakainya sakit mata dan yang lebih teruk
lagi menyebabkan buta penglihatan. Itulah yang terjadi pada masyarakat Islam
hari ini.
Masyarakat Islam hari ini tidak sedar yang mereka
telah mengikut perancangan dan agenda musuh-musuh Islam. Mereka masih lena
dibuai mimpi yang indah ciptaan sendiri dan juga ciptaan musuh-musuh mereka.
Diharapkan kita sama-sama dapat menanggalkan kaca mata
yang penuh dengan penipuan dan khayalan itu. Gunakan kembali kaca mata yang
sebenar. Kaca mata yang tidak lari dari Al- Quran dan As-Sunnah. Insyaallah
kita tidak lari jauh dari landasan hidup yang sebenar. Hidup di dunia ini
hanyalah sementara sahaja dan moga kita dapat mempersiapkan bekalan untuk
perjalanan di akhirat kelak. Masih ada waktu untuk berubah walaupun telah
tersasar jauh dari landasan sebenar. Kita masih boleh rawat mata yang rosak itu
jika bersungguh-sungguh berikhtiar mencari jalan penyelesaian dan dengan izin
dari Allah.
![]() |
Ramadhan yang dirindui |
Ramadhan
dihayati dan disyukuri
Alhamdulillah, kita bertemu semula dengan bulan Ramadhan, bulan yang dirindui dan dinanti-nanti.
Moga kita menyambutnya dengan penuh penghayatan dan semangat untuk melakukan
yang terbaik. Kepada yang sedang berusaha untuk melakukan perubahan dan
perbaikan diri, teruskanlah dan sentiasa berusaha dan bermujahadah untuk
berlumba-lumba menjadi hamba Allah yang terbaik. Moga Ramadhan kali ini menjadi
titik permulaan dan teruskan di bulan-bulan akan datang.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat
menyambut bulan ramadhan dan selamat berpuasa kepada sahabat-sahabat. Moga
Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Kepada sahabat-sahabat
yang masih berada di IPT kerana menunaikan amanah sebagai pelajar, semoga tabah
dan sabar dalam menghadapi ujian dari Allah dan moga segala ujian yang datang
darinya menjadikan kita hamba yang sentiasa dekat dan bersyukur kepadaNya.
Tidak dilupakan juga kepada sahabat yang telah pun
menamatkan pengajian sama ada yang sedang berpraktikal juga yang sedang
menantikan tawaran bekerja atau tawaran sambung belajar, gunakanlah masa yang
ada sebaiknya selagi hayat masih dikandung badan. Jadilah pemuda-pemuda yang
bermanfaat pada masyarakat sekeliling. Kepada yang berpeluang berpuasa sebulan
bersama keluarga, moga peluang yang diberi oleh Allah dapat kita “grab” dan
gunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih
ada. Semoga setiap apa yang kita lakukan mendapat keredaan Allah. Salam
mujahadah.